KEBERKESANAN HUKUMAN TA’ZIR DALAM KONTEKS JENAYAH RASUAH & CADANGAN


KEBERKESANAN HUKUMAN TA’ZIR DALAM KONTEKS JENAYAH RASUAH
Seandainya hukuman jenayah rasuah ini, dipraktikkan berdasarkan hukuman ta’zir seperti mana yang digariskan oleh hukum syara’ maka berkemungkinan ianya akan lebih berkesan kerana hukuman ta’zir memberikan ruang dan kuasa yang lebih luas kepada para hakim melalui mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman yang lebih setimpal dan lebih berat.

            Hal ini kerana hukuman ta’zir lebih bersifat mendidik pesalah dan juga masyarakat serta memberi pengajaran kepada mereka agar tidak sesekali melakukan jenayah rasuah. Dalam memastikan perkara ini dapat dilaksanakan, pelbagai pembaharuan dan penambah baikan perlu dilakukan yang mana membolehkan para hakim syari’e di mahkamah syari’e mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan undang-undang berdasarkan hukuman ta’zir.

            Mahkamah syariah perlu diberikan bidang kuasa yang lebih luas untuk membolehkan ia melaksanakan undang-undang ta’zir berkenaan. Enakmen kesalahan jenayah Islam perlu dipinda dan dipertingkatkan agar ia memberikan bidang kuasa dan peruntukan yang lebih luas agar hukuman jenayah berdasarkan ta’zir dapat dilaksanakan.


CADANGAN
Dewasa kini, dengan melihat kepada kelompongan yang ada dalam aspek hukuman jenayah rasuah yang diamalkan di Malaysia ketika ini, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan untuk mengemaskini dan memperbaiki undang-undang yang sedia ada. Hal ini penting dalam usaha membanteras jenayah rasuah dan menyelamatkan masyarakat serta negara ini daripada kesan negatif akibat daripada perbuatan rasuah.

            Antara cadangan yang difikirkan ialah meminda enakmen kesalahan jenayah rasuah setiap negeri dengan memasukkan peruntukan baru berkenaan dengan kesalahan jenayah rasuah. Walau bagaimanapun, diakui bahawa terdapat masalah berkaitan bidangkuasa sama ada yang melibatkan negeri-negeri, bidangkuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil mahupun melibatkan perlembagaan persekutuan. Namun perkara ini masih boleh diperhalusi dengan ada nya sedikit pindaan yang boleh membuka ruang kepada cadangan ini.

            Kemudian, para hakim perlu diberikan kursus dan latihan insentif berkenaan dengan hukuman ta’zir agar mereka lebih bersedia untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang. Selain itu, hukuman berdasarkan ta’zir perlu diteliti keberkesanannya, dan sekiranya sesuai boleh diamalkan dan digunapakai secara meluas dalam hal berkaitan dengan rasuah. Hukuman berdasarkan ta’zir mempunyai skop yang lebih luas, maka adalah lebih baik mengguna pakai hukuman ta’zir dan dalam pada masa yang sama membantu para hakim dalam menjatuhkan hukuman.

            Sekiranya perlu Mahkamah Syariah boleh diperuntukkan dan diberikan kuasa kepadanya dalam menghukum dan membicarakan kesalahan rasuah yang melibatkan orang Islam. Maka tidak hanya Mahkamah Sivil boleh membicarakan kesalahan rasuah tetapi Mahkamah Syariah juga diberikan kuasa walaupun hanya kepada orang Islam. Hal ini jika dapat dilaksanakan akan memudahkan semua pihak terutamanya mahkamah yang mana kes rasuah di Mahkamah Sivil dapat dikurangkan dengan dibantu oleh Mahkamah Syariah.

            Dalam memastikan masyarakat sentiasa prihatin terhadap bahaya rasuah, mereka perlu diberi penerangan dan peringatan berkaitan dengan bahaya rasuah dan hukuman yang akan menimpa mereka. Oleh itu, pelbagai kempen kesedaran melalui pelbagai aspek sama ada media massa, elektronik, ceramah umum, taklimat, dan sebagainya perlu diperluaskan dan dinilai keberkesanannya. Sekiranya kurang berkesan penambahbaikan perlu dilakukan agar masyarakat benar-benar faham dengan apa yang dimaksudkan dengan rasuah dan hukuman yang berat akan menimpa mereka jika mereka melakukan rasuah. Maka dengan itu mereka akan menjadi takut untuk melakukan rasuah dan mereka akan saling nasihat menasihati antara satu sama lain dan dalam pada masa yang sama melahirkan masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap jenayah rasuah.

             Cadangan-cadangan yang diberikan ini lebih menekankan kepada aspek hukuman dan kesedaran yang mana dilihat sangat penting dan perlu diberikan perhatian yang serius. Maka dengan itu diharapkan cadangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu menambah baik dan meningkatkan lagi keberkesanan hukuman terhadap jenayah rasuah sekaligus dapat melahirkan masyarakat yang amanah dan jujur dan menjadikan negara ini maju dan berkembang




Comments

Popular posts from this blog

KESIMPULAN

PENGHARGAAN DAN PENDAHULUAN TAJUK

APLIKASI HUKUMAN TA’ZIR DALAM KESALAHAN JENAYAH RASUAH DI MALAYSIA